BAB 7 MISTER HERO

BAB 7

   TANGAN yang berotot keras dilonggarkan-longgarkan. Seketika kemudian dia menggoyangkan kaki sebelum memusingkan pinggang ke kiri dan kanan. Mata dibiarkan menghadap ke depan sambil memerhati beberapa orang yang sudah mula berjalan perlahan menaiki bukit di depannya. Bersenam! Kebanyakkan mereka terdiri daripada orang pertengahan umur. Orang muda? Pasti saat ini sedang bersenang lenang di pusat membeli-belah.

   “Satu... dua.. tiga...

   “Kau pasti itu cara memanaskan badan yang betul?”

   Terhenti pergerakkan Iyan. Tangan dipinggang dijatuhkan bersama senyuman sinis. Tak perlu diteka suara siapa yang menganggu tumpuannya. Lambat-lambat dia berpaling.

   “Kau datang sini nak hanya nak ajar aku?” Iyan menentang wajah tak berperasaan di depannya. “Rego...”

   “Kau kenal aku?” Rego berpeluk tubuh. Tersenyum penuh kejelikan.

   “Mustahil aku tak kenal balaci macam kau,” balas Iyan pantas.

   “Tapi tak sangka kau bawa pula dua anak anjing kau,” tambah Iyan sambil menjeling dua lelaki yang ebrada di belakang Rego.

   Anak anjing? Mendidih Oz dan Meo dan lebih mendidih bila lelaki yang berbaju tanpa lengan itu tersenyum penuh ejekan. Kerana geram, kaki mereka dibawa ke depan. Mahu menyerang Iyan kononnya tetapi dihalang Rego dengan satu jelingan.

   “Kau tak takut mati?” Rego menapak menghampiri Iyan. Tanpa kata, bahu lelaki itu ditepuk perlahan.

   Bergerak bibir Iyan Naufal bila tangan itu menyentuh bahunya. Tangan yang kotor tu memang menjijikkan! Namun dia biarkan saja. Mahu melihat apa yang Rego mahukan.

   “Tak perlu tunjuk berani atau...”

   “Atau apa?”

   Rego mengelilingi Iyan sebelum meletakkan dirinya betul-betul di depan lelaki itu. Wajah sengaja dihampirkan pada Iyan.

   “Atau mayat kau bergelimpangan dekat sini nanti.”

   Tergelak terus Iyan dibuatnya. “Kau nak bunuh aku?” Iyan sambung ketawa. Namun hanya sejenak sebelum muka bertukar menjadi serius.

   “Cakap, apa kau nak sebenarnya?”

   “Aku cuma nak tahu kenapa kau buat macam ni?” Rego angkat telefon bimbitnya ke arah Iyan.

   Melihat apa yang tertera di skrin, kening Iyan terjongket naik. Satu jarinya sengaja dikuis-kuis di dahi.

   “Kau yang cetuskan semua tu. Aku cuma bersihkan sampah-sampah yang kau orang dah buat. Tak kan itu pun tak tahu?” sindir Iyan. “Oh ya, tak ada benda yang lagi thrill ke kau nak fikir dari buat aku ditangkap basah.”

   Bersama senyuman mengejek yang masih tidak mahu padam, Iyan pula mendekati Rego. Tanpa gentar, satu jarinya diketuk -ketuk lembut pada dahi Rego. Mencerlun biji mata lelaki bengis itu dibuatnya.

   “Aku rasa otak kau dah berkarat!” kutuk Iyan bersahaja.

   “Bodoh!” Tangan Iyan ditepis. Berani Iyan letakkan jari di dahinya? Kurang ajar! Muka Iyan dipandang sejenak sebelum laju dia meraba belakang seluarnya. Menarik sesuatu dari situ dan merempuh Iyan sehingga lelaki itu terdorong ke belakang.

   “Kalau macam ni? Kau suka? Lagi thrill?” bentak Rego. Pistol di tangan ditujah rapat pada perut Iyan. Badan mereka mendekat sehingga orang lalu lalang sendiri tak perasan yang ada peluru bakal menerobos perut Iyan hari itu.

   “Wo..wo..wo...” Iyan agkat tangan tetapi beberapa detik kemudian, dia menjatuhkan tangannya. Muka bengang Rego ditikam dengan mata tajamnya. Tanpa kata, dia mendorong tangan Rego yang mengacu pistol lebih rapat ke perut kempisnya.

   “Kau pasti nak bunuh aku di sini? It’s okay. Tembaklah!” suruh Iyan keras.

   Bergelodak dada Rego. Nafasnya terhambur ganas dengan muka seperti tidak sabar mahu menanam peluru dalam perut Iyan. Biar tertembus perut itu namun...

   “Kali ni kau selamat!”

   Tubuh Iyan ditolak ganas. Tangan ditarik sebelum hujung pistol diketuk pada dahi Iyan. Terdorong lelaki itu ke belakang.

   “Kenapa tak bunuh? Bos tak guna kau tu belum bagi arahan untuk bunuh aku? Wah, kau memang balaci yang setia.” Iyan tegakkan badan yang hampir terjatuh akibat ditolak Rego tadi. Sejenak, dahi disentuh. Ada luka kecil di situ.

   “Kau...

  “Apa?”

   Rego ketap bibir sekuat yang mungkin. Pistol disimpan dengan tangan yang menggeletar. Bukan menggeletar kerana takut tetapi kerana amarah yang tidak mampu dibendung. Kalau tak disebabkan arahan, mati jantan itu dibunuh.

   “Sial!” Jerit Rego sekuat hati. Tiba-tiba dia berpusing menghadap anak buahnya. Tanpa amaran, laju dia menerpa ke arah Meo dan Oz sebelum dua tumbukan dilepaskan. “Sial! Sial! Sial!!!”

   Dan saat itu, mereka mula menjadi tatapan mata pengunjung di taman tasik Taiping itu. Tapi Rego peduli apa? Persetankan semua tu! Silap hari bulan, semua orang dia tembak. Dia betul-betul marah! Marah kerana tak dapat membunuh Iyan! Jantan Parasit!

   Iyan menggeleng dengan senyuman. Perangai gila Rego memang tak boleh dikawal. Sama macam dulu. Anak buah Rego yang tertunduk kesakitan dipandang dengan muka mengejek. Bodoh sebab bertuankan lelaki tidak waras macam Rego tu!

   “Bodoh!” terkeluar kalimat itu dari bibir Iyan.

   Rego yang bergerak tanpa dikawal tiba-tiba membeku tatakala kutukan Iyan menusuk telinga. Perlahan-lahan dia memusingkan wajahnya yang tegang dan ketat. Rupanya saat ini tak ubah seperti lelaki yang mahu bertukar menjadi serigala jadian.

   “Aku akan bunuh kau suatu hari nanti. Dengan tangan aku sendiri!” gumam Rego keras. Itu sumpahnya!

   “Kita tengok siapa yang bunuh siapa?” Iyan membalas tanpa ketar.

   Dan... Mereka berdua saling berpandangan dengan sinar mata yang tak pernah lupt dari dendam. Dendam yang akhirnya membuat mereka bersumpah untuk membunuh!


........................................................
IYAN, merenung kosong kawasan curam yang ditumbuhi tumbuhan hijau di depannya. Akal fikirannya melayang pada peristiwa dua hari lepas. Entah macam mana dia boleh tersilap langkah sehingga masuk ke dalam perangkap orang-orang Rego. Natijahnya, hubungannya dengan Aifa Hani terputus. Hubungan yang cuba dijayakan akhirnya musnah juga.

   Tapi dia Iyan Naufal! Tak semudah itu dia tunduk pada permainan Rego. Nama yang buruk bila-bila saja akan dibersihkan tetapi mengapa hatinya resah? Seperti dia kehilangan sesuatu. Palang putih di depannya dicengkam erat.

   Apa yang hilang?!

   Tanpa sedar ada satu tubuh lain yang turut sama menghadap curam itu. Ara mengeluh panjang setiap kali teringatkan berita yang dibaca di laman. Iyan ditangkap basah! Kenapa dia pula rasa susah hati? Rasa seperti geram dan marah. Macam dia sukakan lelaki tu!

   Tapi normal la kalau dia sukakan Iyan. Lelaki kacak dan sempurna macam tu siapa tak suka kan? Suka itu biasa, cinta itu yang luar biasa.

   Lupakan saja lelaki tu! Sekarang ni masalahnya Dollah! Elok je sampai ke taman tasik ni, boleh pula lelaki tu ada hal. Tak pasal-pasal dia ditinggalkan seorang diri. Jogging seorang diri membosankan! Saat dia terkenangkan Dollah, konsentrasi terganggu dengan deringan telefon bimbit. Ara berpaling ke tepi. Tiba-tiba kelopak matanya naik ke atas tatkala wajah yang sedang sibuk menekur telefon bimbit itu menyapa mata.

   Dia?

   Tak perlu menunggu, laju saja Iyan mematikan panggilan dari Aifa Hani. Ada keluhan terhambur keluar dari tekaknya. Muka diangkat bersama fikiran yang berat. Saat matanya lurus ke depan, dia terkesima. Matanya terbuka luas bersama dahi yang berkerut halus.

   Dia?

   Iyan dan Ara memandang antara satu sama lain. Terkejut, terpanar, terkesima semuanya bergabung. Macam tak percaya mereka tertembung di situ.

   “Hai...” Bibir Ara bergerak menegur tanpa suara. Tangan kanannya diangkat pada Iyan.

   Iyan diam tak berkutik. Hanya memandang Ara yang melambai. Mukanya tegang tak bewarna. Mengapa pertemuan demi pertemuan tercipta padahal dia mahu menjauhi? Senyuman mengejek diri sendiri kerana hidup tak pernah terlepas dari perempuan bernama Ara Elisya itu.

   Ara pandang kiri kanan sebelum perlahan-lahan menapak setapak ke depan. Mahu mendekati Iyan namun terbantut niatnya bila terkenangkan kes tangkap khalwat Iyan. Perlahan-lahan dia kembali mengundurkan langkah namun tak semena-mena Iyan menapak ke arahnya dengan laju. Tercengang dia dibuatnya.

   “Tak sangka jumpa dekat sini.” Iyan berdiri menentang tajam mata Ara. Jarak mereka hanya terpisah satu tapak kaki.

   Dup..dap..dup...dap

   Mata Ara membulat. Jantung dia kenapa? Nafasnya mana?

   “Ya..ya.. Tak sangka.” Terpisat-pisat matanya memandang tubuh yang lebih tinggi darinya.

   Iyan diam. Susana tiba-tiba menjadi sepi. Ara pula sibuk menurunkan degupan jantungnya. Manusia boleh mengawal pergerakan badan tetapi manusia tak boleh mengawal degupan jantung. Jantung cuma satu organ kecil tetapi terlalu susah untuk dikawal.

   “Awak buat apa dekat sini?” tanya Ara, memecah kesunyian.

   “Ada satu jawapan je kenapa orang datang ke bukit ni.”

   Ara tersengih kelat. Satu saja jawapan dan jawpannya adalah untuk bersenam! Soalan apa yang kau tanya tu? Tengok pakaian lelaki tu pun dah cukup menjawab soalan. Saat dia memarahi diri dek soalan bodoh itu, matanya tertangkap luka di dahi Iyan.

   “Dahi awak luka.”

   Terus Iyan sentuh dahinya.

   “Taraa...” Tiba-tiba Ara keluarkan sesuatu dari seluar tracksuit.

    Tercengang sekejap Iyan memandang plaster di tangan Ara. Mana dia dapat?

   “Kebetulan kan? Tadi jari saya luka, sebab tu saya beli plaster ni.” Ara tayang jarinya yang berbalut dengan plaster. Terhiris masa ambil serai belakang rumah tengah hari tadi.

   “Nah...” Ara arahkan plaster ke arah dahi Iyan.

   “Aku boleh buat sendiri.” Iyan menghalang.

   “Oh ya.. Betul. Nah.” Ara gigit bibir sendiri. Alamak! Apa yang dia buat! Rajin nak tolong lekatkan dekat dahi lelaki tu kenapa?

   Ara, kau malukan diri kau lagi!

   Usai melekatkan plaster di dahinya, Iyan memandang muka Ara yang kemerahan. Entah kenapa, tiba-tiba ada senyuman tersungging di bibirnya.

     “Thanks...”

   “Hah?” Ara mendongak.

   “Thanks...” Iyan tunjuk plaster di dahi.

   Ara mengangguk.

   Keadaan kembali sepi bila mereka sama-sama terdiam. Kekok pun ada tapi dalam rasa kekok itu mereka seakan tidak mahu berpaling antara satu sama lain. Tiba-tiba telefon bimbit Iyan berbunyi dan seperti tadi, lelaki itu pantas mematikan talian.

   Aifa Hani... Iyan mengeluh panjang.

   Ara Elisya... Iyan pejamkan mata.

   Berkerut dahi Ara melihat perbuatan Iyan tiba-tiba. Mata yang tertutup itu ditenung. Lelaki ini suka menimbulkan rasa pelik di hatinya.

   “Pilih.” Tiba-tiba saya Iyan membuka matanya. Pantas!

   Cepat-cepat Ara larikan biji mata dari wajah lelaki itu. Semput nafas bila Iyan membuka mata tanpa amaran. Seketika kemudian matanya dijatuhkan pada kedua-dua tangan Iyan yang tertadah padanya.

   “Pilih satu...” suruh Iyan.

   “Hah?” Blur...

   Iyan tak menjawab sebaliknya mendekatkan kedua-dua tapak tangannya pada Ara sebagai tanda menyuruh gadis itu memilih. Faham isyarat Iyan, terus jarinya terarah pada tangan sebelah kiri Iyan. Pilih saja la.

   “Yang ni...” Bibir Iyan melebar ke tepi, sinis.

   “Tapi untuk apa?” tanya Ara. Musykil!

   Lelaki itu menggeleng pendek sebelum mengeluh. Tiba-tiba saja Iyan mendada. Mukanya nampak lebih bersemangat dari tadi.

   “Kita belum berkenalan lagi kan? Aku Iyan Naufal,” lancar Iyan mengenalkan diri.

   Ara terpinga-pinga beberapa saat.

   “Kau tak nak kenalkan diri kau?”

   Ara tersedar.

   “Aa.. Saya Ara. Ara Elisya...” Ara ikut kenalkan diri.

   Iyan mengangguk bersama mata yang terkilas satu pandangan yang mempunyai maksud tersendiri. ‘Aku tahu. Mustahil aku tak tahu kau adalah Ara Elisya...’

.................................................

ALAT kawalan jauh kereta ditekan. Iyan melajukan langkahnya dengan perasaan yang sukar ditafsirkan. Saat dia datang ke sini, jiwanya dihuni dengan pelbagai rasa dan resah tetapi ketika ini semua rasa itu hilang. Hatinya disapa rasa aneh yang ingin memekarkan senyuman di wajahnya.

   “Rego jumpa kau?” tegur satu suara tiba-tiba.

   Iyan tak jadi membuka pintu kereta. Wajah diangkat. Buat seketika dia mengeluh.

   “Kau buat apa dekat sini?”

   “Rego jumpa kau?”

   Soalan Iyan tak dijawab sebaliknya pertanyaan tadi diajukan.

   “Cepat kau dapat info.” Tersungging senyuman sinis di wajah Iyan.

   Rey mengeluh panjang. Dengusan terhambur sebelum kaki dibawa mendekati Iyan.

   “Kalau aku boleh dapatkan bukti kau tak bersalah dalam kes tangkap khalwat tu dalam masa sehari, tak kan info macam ni pun aku tak boleh dapat?” Senyuman sinis Iyan dibalas sinis.

   Bergerak pipi Iyan tatkala memproses nada yang digunakan Rey. Ada perasaan marah yang Rey adunkan dalam ayat sinisnya tadi. Iyan mematikan riaknya sebelum sebelah bahunya disandar pada badan keretanya. Berpeluk tubuh sambil memincingkan anak matanya pada Rey.

   “Dah lama kau tak bahasakan kau dan aku bila bercakap.”

   “Sebab kali ni aku datang sebagai kawan kau bukan pekerja kau!” keras Rey membalas.

   Sah Rey sedang marah. Tapi kenapa? Iyan larikan wajahnya ke depan. Cuba merungkai kemarahan Rey yang tiba-tiba tercetus.

   “Kau tengah marah Rey...” tutur Iyan perlahan.

   “Yes, I am!”

   “Sebab Rego jumpa aku?” duga Iyan sedangkan hatinya menolak. Tak mungkin sebab tu.

    Rey urut dahi dengan kepala menunduk. Cuba melepaskan amarah yang bernada di hati. Sebenarnya bukan marah tetapi lebih kepada geram! Geram dengan kebodohan Iyan!

   “Aifa datang restoran, cari kau.”

   Iyan tersentak.

   “Kenapa kau tak jawab call dia?” Rey mendekat. Iyan mendiamkan diri.

   “Kenapa kau diam?”

   “Sebab aku tak ada ayat untuk balas kau.”

   Rey ketawa kecil tetapi perlahan-lahan ketawa itu menjadi dingin.

   “Aku cari bukti kau tak bersalah sebab aku nak hubungan Aifa dan kau pulih. Sekarang apa? Bila Aifa datang, kau lari? Kau diamkan diri? Aifa penting Iyan! Tak kan itu pun kau tak...

   “Penting untuk apa?” potong Iyan pantas.

   Giliran Rey membisu.

   “Lagi aku fikir, lagi aku rasa bersalah. Aifa tak salah tapi kita gunakan dia untuk rancangan kita. Apa yang kita buat ni tak betul! Setiap kali dia ucap dia sayangkan aku, aku tak boleh! Aku rasa aku jahat Rey!” Iyan tertunduk menahan rasa bersalah yang menyerang.

   “Jadi sekarang kau nak apa? Kau yang bagi idea tu Iyan. Kau yang nak dekat dengan Aifa walaupun aku larang. Kau janji tak kira apa terjadi kau tetap akan ambil Aifa jadi isteri kau sebab dia cintakan kau. Sekarang kau nak cakap kau rasa bersalah? Kau nak langgar janji kau? Itu munafik Iyan. Munafik!” hambur Rey lancang. Hilang sudah hormat yang selalu dia tunjukkan pada Iyan.

   Terkepal tangan Iyan menelan apa yang keluar dari mulut sahabatnya. Bibir diketap kejap. Dia bukan munafik! Tidak!

   “Lupakan semua ni. Kau telefon Aifa. Aku rasa dia nak balik pada kau.” kendur suara Rey saat perasan wajah Iyan mula bertukar biru. Dia tak sepatutnya memancing kemarahan Iyan begitu.

   “Tak...”

   Rey terkejut. Iyan tegak memandang lelaki di depannya. Dia dah buat keputusan dan keputusannya tak akan berubah walaupun sejuta ornag memanggil dirinya munafik!

    “Aku nak tamatkan semuanya. Kita hentikan semua ni sekarang. Aifa tak patut ada hubungan dengan aku. Aku tak kan kembali lagi pada dia sebab aku tak nak mainkan perasaan dia. Aku tak cintakan dia dan sebab tu aku tak boleh bersama dia lagi.”

   Rey tercegat seperti patung. Namun, beberapa saat kemudian dia ketawa kecil. Ketawa... ketawa dan terus ketawa...

   “Ni pasal perempuan tu kan?”

   Iyan terbelalak.

   “Aku nampak Iyan. Aku nampak kau dengan dia. Aku nampak kau dengan dia dekat atas bukit tu. Lari sama-sama dan... Kau senyum Iyan. Kau senyum...” Mata Rey berkaca tiba-tiba.

   Dia nampak Iyan tersenyum dan itu buat hatinya lega. Setelah berapa lama Iyan tak tersenyum seperti itu. Tapi melihat gerangan yang buat Iyan tersenyum, dia gelisah.

   “Ara Elisya tak patut muncul lagi dalam hidup kau.”

   Bibir Iyan lumpah. Dia kehilangan kata. Nama penuh yang disebut Rey seakan menyedarkan dia tentang satu hakikat. Hakikat yang terlalu perit untuk ditelan. Ara Elisya! Perempuan tu memang tak patut muncul kembali tetapi perempuan itu sudah membuat pilihan tersendiri.

   Dua tangan yang dihulur pada Ara itu adalah dua pilihan. Jika gadis itu memilih tangan kanan, maka dia akan menjauhkan diri tetapi jika Ara memilih kiri bermakna dia tak akan menjauhi. Dia akan mendekati. Dan... Ara memilih kiri.

   “Aku tak minta dia datang tapi dia yang datang sendiri... pada aku.” Iyan menentang berani pada Rey yang cuba memanipulasikan akal fikirannya.

   “Apa maksud kau?”

   “Aku tak pernah cari dia tapi dia yang cari aku. Mulai sekarang, aku tak kan larikan diri macam dulu.”

   Rey menggeleng. Tidak!

   “Lama dulu aku berjanji pada diri aku yang aku akan jaga dia tetapi waktu tu aku takut. Aku jauhkan diri sebab aku tak mampu tunaikan janji tu. Aku lupakan dia. Aku hilangkan memori aku pasal dia. Sekarang dia ada depan aku. Aku dah buat keputusan, aku akan jaga dia. Aku akan tunaikan janji yang aku buat pada diri aku dulu.” Tekad memenuhi ruang dada Iyan.

   Di saat Ara memilih tangan kiri dari kanan, saat itu dia sedar yang Ara memang perlukan dia. Seorang untuk dijadikan pelindung!

   “Siapa kau nak jaga dia? Kau abang dia? Kau kekasih dia? Kau suami dia? Bukan kan? Untuk apa kau nak jaga dia? Hal kau sendiri pun belum dapat kau selesaikan, kau nak tambah lagi beban? Jaga perempuan tu? Kenapa? Kenapa???”

   “Sebab aku rampas seorang ayah dari dia!”

   “Iyan...”

   “Aku rampas satu-satunya orang yang sepatutnya menjadi pelindung dia. Aku berhutang dengan dia Rey.”

   Rey menghela nafas panjang. Wajah kekesalan yang terpancar di wajah Iyan membuat hatinya sebu. Simpatinya tertumpah di situ. Saat ini bayangan Iyan dahulu menyapa mata. Iyan yang hidup dalam dunia terasing hanya kerana seorang gadis bernama Ara Elisya.

   “Aku perlu bayar hutang aku dan ini waktu yang sesuai. Dia patut bahagia walaupun kebahagiaannya yang satu tu dirampas oleh aku.” Ada air mata mengalir saat bibirnya mengungkap perkataan demi perkataan.

   Saat ini dia seakan nampak seorang gadis rebah dengan linangan air mata. Dan gadis itu adalah Ara Elisya...

   ‘Dia perlu bahagia tetapi dia tak akan bahagia jika dia tahu siapa kau sebenarnya Iyan. Kau dah buat keputusan yang salah. Tak mungkin gadis itu perlukan pelindungan dari lelaki macam kau. Pembunuh ayahnya!’ desis hati Rey.

   Berat!

No comments:

Post a Comment