Tuesday, 12 April 2016

DALAM KETERPAKSAAN (BAB 3)

"Hei! Buat kerja tu elok sikit. Nanti pecah barang aku, kau nak ganti ke? Pecah mangkuk aku siap kau!" Jari Mak Cik Kamsiah menujah bahu Danisya yang sedang membasuh pinggan. Sakit hatinya bila melihat Danisya hampir saja menjatuhkan mangkuk kaca sewaktu sedang menyabun pinggan.

Danisya cuba bertenang walaupun dia sudah tak tahan kerana terpaksa melalui semua itu setiap hari. Dia cuba menenangkan dirinya yang hampir mendidih. Dia memang pantang kalau orang main tujah-tujah ikut suka hati. Tanpa sedar, dia sudah mengembungkan mulutnya. Tapi dia tak boleh melawan kata-kata Mak Cik Kamsiah kerana kepentingan dirinya juga. Buatnya dia dihalau oleh mak saudara angkatnya, tak ke naya? Kalau dia di halau oleh perempuan tu, ke mana lagi dia mahu pergi!

Lepas kematian mak dan ayah angkatnya, dia dibela oleh Mak Cik Kamsiah. Rasanya dia hanya sempat menjadi anak angkat kepada adik Mak Cik Kamsiah hanya setahun sebelum Mak Cik Kamsiah mengambil hak untuk menjaganya. Tapi kekadang dia hairan juga, mengapa Mak Cik Kamsiah ingin menjaganya sedangkan mereka boleh menghantar dia kembali ke rumah anak-anak yatim. Dia tahu! Ni mesti kes nak cari orang gaji percuma! Tengoklah kehidupan dia sekarang, tak ubah macam orang gaji tak bergaji!

Tiba-tiba bunyi mangkuk terjatuh ke dalam sinki yang agak berkarat itu. Apa lagi, mulut puaka milik Mak Cik Kamsiah berbunyi kuat. "Kau ni Kan!" Mak Cik Kamsiah mencubit bahu Danisya geram malah dipulas-pulasnya pula. Danisya menahan. Kan dia sudah kata, dia dah biasa dengan semua ni sampaikan naik lali dah!

"Aku dah cakap, tapi kau tak mau dengar ye? Hei! Kalau mangkuk cantik aku tu pecah, siapa nak tanggung. Kalau aku nampak sumbing mangkuk kaca aku, aku sumbat dalam mulut kau!" Mak Cik Kamsiah melepaskan cubitannya dan tubuh Danisya ditolak kuat hingga perut Danisya berlaga dengan sinki. Perutnya terasa perit. Mak Cik Kamsiah tahu kesakitan yang dialami Danisya, namun dia buat tidak tahu. "Pergi sambung kerja!"

Danisya menahan kesakitan pada perutnya. Simen sinki yang tidak rata membuatkan perutnya terasa seperti belanggar dengan berketul-ketul batu. Dah la dia belum makan walaupun secebis makanan pun. Dia cuba berhati-hati supaya tidak merosakkan barang milik Mak Cik Kamsiah. Kalau di ikutkan hati, mahu saja dia cilikan mulut Mak Cik Kamsiah tu biar mulut tu hancur. Dia kemudiannya memandang mangkuk kaca yang dibasuhnya.

"Mangkuk kaca cantik apa macam ni? Aku tengok lusuh je. Agaknya mata si tua ni buta kut. Kalau kau buta lagi bagus. Tak ada la kau nak buli aku lagi. Silap hari bulan, aku yang buli kau," desis hati Danisya geram. Danisya cuba membasuh semua mangkuk kotor itu dengan penuh berhati-hati. Tiba-tiba mindanya teringatkan sesuatu. Danisya memandang ke arah pintu bilik yang luas terbuka. Dia mengintai-ngintai kalau-kalau ada pemilik bilik itu sudah bangun.

"Minah pemalas tu belum bangun kut. Hari dah siang pun nak membuta lagi. Nanti kalau kau bangun, aku berani kerat jari, mesti bergegar jeritan kau dalam rumah ni!" Hati Danisya ketawa besar.

"Kau terhendap-hendap apa lagi! Basuh la mangkuk tu cepat!" Jerit Mak Cik Kamsiah betul-betul di cuping telinga Danisya. Terangkat bahu Danisya jadinya sehinggakan telinga dan bahunya hampir bersatu. Lama-lama memang pekak la jawabnya.

"Yang kau basuh penuh bersopan santun tu kenapa? Kau ingat bil air ni siapa yang bayar?"

Danisya menahan sabar. Tadi si tua tu juga yang kata, basuh berhati-hati. Sekarang naik pula isu air! Memang bengong betul la si tua ni!

"Kau saja nak naikkan darah aku pagi-pagi ni. Kau basuh cepat sikit! Bil air ni aku yang bayar!" tersembur air liur Mak Cik Kamsiah di pipi Danisya. Tanpa kata Danisya mengelap pipinya yang merintik dengan air liur. Terasa geli pula. Cepat-cepat dia membasuh tangannya. Mak Cik Kamsiah menarik baju Danisya dengan cukup kasar. "Lagi sekali aku ingatkan kau, bil air ni aku yang bayar, bukan mak bapak kau! Mak bapak kau yang dah mampus tu, tak boleh bangkit bagi aku duit tau! Kau ni memang bodoh! Aku rasa kau ni keluar dari rahim perempuan yang bodoh macam kau. Sial betul!"

Hati Danisya merintih geram. Dia boleh menahan segala makian terhadap dirinya tapi kalau dia dengar makian terhadap ibunya yang sudah lama meninggal, dia memang tak mampu bersabar. Kesabarannya senipis kulit bawang ketika ini. Kalau tak fikirkan manusia di depannya itu orang tua, memang merah pipi itu dilempang. Apa salah ibunya sehingga Mak Cik Kamsiah sesuka hati memaki dengan begitu teruk. Mak Cik Kamsiah tak kenal malah tak pernah berjumpa pun dengan ibu kandungnya, jadi apa hak wanita itu mahu mengatakan ibunya perempuan bodoh! Tangan kiri Danisya mencengkam tangan kiri mak Cik Kamsiah yang masih kemas di bahunya.

Berkerut dahi Mak Cik Kamsiah menahan sakit. Tangannya yang kurus bagaikan hendak patah bila ditekan kuat oleh Danisya. Dia nampak jelas wajah Danisya yang mula berubah. Bukan dia tak tahu bahawa Danisya memang pantang kalau membabitkan hal arwah emak kandungnya. Rasanya Danisya pernah memberinya amaran supaya jangan sesekali menyentuh hal ibunya sewaktu mereka bergaduh dulu.

"Hoi! Kau nak bunuh aku ke perempuan! Aku laporkan kau kat polis nanti." Mak Cik Kamsiah meronta-ronta untuk melepaskan diri. Sakit tangannya tak tertanggung lagi.

Danisya akhirnya melepaskan tangan wanita tua tadi. Bukan kerana ugutan tapi dia takut kalau patah pula tangan mak cik tua tu. Kalau patah tangan tu, siapa yang nak cari makan. Nak harapkan pemalas yang masih tidur terbungkang atas katil tu, memang tak la!

"Kau ni memang cari pasal!" Mak Cik Kamsiah meluru untuk memukul tubuh Danisya tapi gadis itu sempat mengelak. Siapa sangka, tiba-tiba kaki Mak Cik Kamsiah tergelincir bila terpijak lantai dapur yang agak lincin ketika itu. Apa lagi, 'kedebup' jatuh orang tua itu.

Danisya tergamam namun seketika kemudian dia ketawa kecil. Bila nampak saja mata Mak Cik Kamsiah yang membutang, spontan tangannya menutup mulutnya yang galak ketawa.

"Siap Kau!" Mak Cik Kamsiah cuba bangun tetapi buntutnya terasa begitu pedih. "Aduh, aduh, aduh!!" dia terduduk kembali. Sekali lagi bunyi ketawa kedengaran sehingga membuatkan hatinya sakit.

"Mak!!"

Jeritan itu memenuhi ruang rumah kecil itu. Danisya pegang dada bila dia rasakan jeritan itu sama taraf dengan bunyi Dinasaur kelaparan. Dia memandang perempuan yang kelihatan begitu serabut. Tanpa dapat ditahan, ketawanya terhambur lagi.

"Oh mak hantu!" melatah Mak Cik Kamsiah bila melihat wajah anak tunggal kandungnya yang diselaputi dengan warna koko ke oren-orenan. Dah macam anak gergasi dia tengok. Tak pernah lagi dia terkejut sebegitu. "Kau pakai masker apa pula dekat muka kau tu? Dah macam pontianak kena cat mak tengok."

"Apa ni mak? Orang tak pakai masker la!" Amira mendekati ibunya dengan langkah tergedek-gedek. Sempat lagi dia menjeling pada Danisya yang masih lebar dengan senyuman. "Apa yang kau dah buat dengan mak aku!" tengkingnya. Terkejut juga bila melihat ibunya yang terduduk di lantai dapur yang kotor. Buang tebiat apa orang tua ni!

"Ni apa yang melekat dekat muka kau ni Mira oi!" suara Mak Cik Kamsiah seakan tertekan. Tanah kering di wajah anaknya di sapu. "Sejak bila kamu pakai masker tanah ni Mira. Mak dah letih dengan kamu ni!" jerit Mak Cik Kamsiah geram lepas menghidu benda yang melekat diwajah Amira. Dah la tengah sakit, ditambah pula dengan sikap bengap anaknya. Adakah tanah dibuat masker?

Amira terkesima. Rasanya dia tak pakai apa-apa produk kecantikan malam semalam. Duit pun tak da nak beli produk kecantikan. Rasanya nak tunggu sampai Danisya dapat gaji hasil kerja di warung di hujung kampung. Boleh dia minta dari perempuan tu nanti. Tiba-tiba dia berlari ke arah biliknya semula.

"arghh!!!" Jeritan tiba-tiba itu membuatkan rumah kecil terasa seperti bergegar. Buntut Mak Cik Kamsiah yang sakit bertambah sakit dengan jeritan ngauman singa betina. Danisya pula hanya ketawa tanpa sedikit pun rasa takut. Seketika kemudian, Amira muncul dengan wajah menyinga.

Danisya telan air liur. Dia tak takut tapi gentar tu ada la sikit. Buatnya si harimau betina tu mengamuk, tak pasal-pasal dia masuk Unit Rawatan Rapi!






Lily mencapai botol air di sisinya. Botol yang berwarna biru terasa begitu ringan. Dia mengeluh sambil mengocak-ngocak air yang sememangnya sudah habis. Matanya diliar-liar ke arah kawasan taman rekreasi, mana tahu kalau-kalau ada orang yang menjual air mineral. Air liurnya terasa begitu kering dan tekaknya mula haus. Lepas ni, jangan harap dia akan keluar jogging dengan abangnya! Memang letih bila mengejar larian abangnya yang tak kenal erti penat. Akhir sekali, baru dua pusingan, dia dan Natasya dah tersadai di kerusi milik awam. Biar Raiqal terus berlari diteman hantu jogging!

"Akak! Lily pergi sana kejap!"

"Ha!" Natasya mengalih pandangan pada Lily yang sudah mula bangun. Suara Lily tiba-tiba mengganggu perhatiannya yang sedang melihat tumbuh-tumbuhan hijau yang tumbuh dengan begitu baik. Dia mencapai tuala kecil pada lehernya dan mengelap wajahnya yang terasa sedikit melekit. "Lily kata apa tadi!" Natasya memandang tepat pada wajah Lily sambil tangan terus menelap wajah dan lehernya yang jinjang.

"Akak! Tu la berangan lagi! Lily nak ke sana kejap," ujar Lily sambil menunjuk ke arah Pak Cik yang menjual air mineral. "Air dah habis la!"

Natasya mengangguk kecil dan kemudiannya matanya menghantar kepergian Lily. Satu keluhan dilepaskan. Sejujurnya, dia rimas dengan Lily yang asyik bercakap ikut sedap mulut. Dia sebenarnya nak ajak Raiqal saja temankan dia berjogging tapi kebetulan Lily ada bersama Raiqal sewaktu dia mengajak lelaki itu. Mahu tak mahu, terpaksalah dia mempelawa budak itu sekali. Dia memandang sekitar kawasan dengan harapan Raiqal akan muncul di situ, tetapi kelibat lelaki itu langsung tak dilihat. Bosan menunggu, dia menongkat dagunya sambil menikmati lagu dari telefon bimbitnya.

"Hah!"

Hampir saja Natasya melemparkan telefon bimbitnya kerana terperanjat. Tiba-tiba suara orang ketawa menyapa pendengarannya. Pantas dia memandang tubuh yang sedang mengetawakan dirinya. Tanpa kata, dia mengambil botol air kosong dan dilempar kepada Raiqal yang berada tidak jauh darinya.

"Bwekkk! Tak kena!" Raiqal mengejek bila balingan Natasya sempat dielak. Tak sangka, pandai juga dia main aci elak-elak ni.

"Raiqal!!" Natasya menekankan suaranya sambil menjegilkan biji mata kepada Raiqal yang menganggkat kening. Nak mengejek la tu! Sakitnya hati!

Raiqal tertawa sekali lagi dan kemudian dia melabuhkan punggungnya di sebelah Natasya yang berwajah merah. Pasti gadis itu sedang marah! Natasya, cucu kepada Datuk Azri dan Datin Aida yang tinggal bersebelahan rumahnya. Dari kecil lagi mereka sudah berkawan baik dan membesar bersama. Dia sayangkan Natasya bagaikan dia menyayangi adiknya sendiri.

"Awak ni Raiqal, kalau tak buat orang terkejut satu hari tak boleh ke? Lama-lama nanti, saya masuk hospital dengan kerenah awak ni!"

"Saya bergurau je la! Awak ni sensitif sangat. Hai! Malang betul siapa yang jadi lelaki awak nanti," Raiqal mencapai tuala yang tersangkut di leher dan mengibas-ngibas di depan wajah Natasya.

"Tak mau la Raiqal!" Natasya cekap menangkap tuala yang digunakan Raiqal untuk menganggu dirinya. Tuala itu diambil dan diletak disebelah. Matanya tertunak pada Raiqal mencebik selamba. "Awak la bakal suami saya yang malang tu!" ucap Natasya tiba-tiba.

Raiqal terdiam. Dia tak tahu sama ada Natasya bergurau atau serius. Bila mendengar dari nada suara, Dia rasa Natasya cuma berjenaka, tapi dari pandangan macam serius. Pening!

"Lily mana?" Raiqal buat-buat memandang sekeliling. Dia cuba mengalih tajuk perbualan mereka. Lagi pula, dia baru perasan Lily tak bersama mereka.

"Awak mengelak eh!" Natasya tersenyum. Sudah acap kali Raiqal begitu bila perbualan mereka menuju ke arah hati dan perasaan.

Raiqal mengeluh. Dia tahu dia tak mampu nak mengelak lagi. Kalau saat ini adiknya muncul, pasti dia mampu melencongkan tajuk perbualan mereka. Tapi nak buat macam mana, dia sudah tak mampu mencari alasan lagi. Lily! Cepatlah datang!

"Tasya, saya dah pernah cakap dengan awak dulu kan!" Raiqal memandang ke arah manusia-manusia yang masih galak mengeluarkan peluh. Ada yang sedang beryoga, ada yang berlari setempat dan ada juga yang sudah membuka tarian kipas. "Saya anggap awak tak lebih dari seorang kawan."

Natasya senyum dengan raut wajah yang begitu pedih. Setiap kali dia cuba mendekati lelaki itu, jawapan yang sama dia dapat.

"Tapi, saya tak nak hanya jadi kawan awak. Awak tahu kan, saya cintakan awak, Raiqal!"

"Cukuplah tu Tasya! Saya tak nak dengar benda mengarut ni lagi. Saya dengan awak hanya kawan. Dari dulu kita kawan baik. Jangan musnahkan persahabatan kita, please!" penuh mengharap Raiqal memandang Natasya. Dia tak mungkin ada perasaan pada Natasya atau mana-mana perempuan. Hatinya sudah tertutup.

"Awak masih ada hati pada Aziera!" soal Natasya sambil memandang ke arah lain. Dia tak mampu melihat wajah Raiqal kerana dia takut air matanya tumpah. Dari dulu lagi dia memang mencintai Raiqal dan hanya Raiqal yang bertakhta di hatinya.

Mendengar sebaris nama dari mulut Natasya, Raiqal terus bangun dan melangkah ke hadapan. Natasya hanya melihat tindakan Riqal yang menjauhkan diri tiba-tiba. Raiqal menarik nafas dalam sebelum membuka bicara seterusnya. "Hati saya sekarang ni kosong. Sifar! Dalam hati saya tak ada dia mahupun perempuan lain!" tenang dia mengatakan.

Natasya turut bangun dan menghampiri Raiqal. Dia meletakkan tubuhnya setentang dengan Raiqal. "Hati awak kosong? Kalau hati awak kosong, awak tak ada alasan untuk tidak mencuba mencintai saya. Saya dah tunggu awak lama, Raiqal. Sejak awak bersama dia lagi. Saya cintakan awak!" Natasya menarik baju sukan biru yang dipakai Riaqal sehingga dahi lelaki itu berkerut seribu.

Raiqal pegang tangan Natasya yang menarik bajunya. Malu pula bila dilihat pengunjung yang lalu lalang di situ. Mungkin mereka akan berfikir pasangan bercinta sedang bergaduh tetapi hakikatnya, dia dan Natasya hanya kawan. Tak lebih daripada itu dan dia mahu Natasya sedar itu!

"Bila cinta dalam hati saya dah mati, macam mana saya nak mencuba untuk mencintai awak!" Raiqal cuba menyedarkan Natasya daripada terus berharap. "Saya sendiri tak tahu macam mana rasanya cinta! Saya dah lupa macam mana perasaan cinta tu!"

"Raiqal dah lima tahun. Tak kan Hati awak masih kosong walaupun setelah tiga tahun berlalu!" Natasya mengeleng tak percaya. Dia benar-benar tak memahami hati seorang lelaki apatah lagi, hati seorang lelaki yang bernama Raiqal Adif.

"Yes! Memang hati saya kosong sehingga sekarang. Semakin lama masa, hati ni semakin kosong hinggakan saya lupa pada semua perasaan hati!"

"Tapi...."

"Abang! Sorry lama sikit tadi," ujar Lily yang baru riba. Dia masih tidak perasan suasana tegang ketika itu. Dia kembali menyambung bicara. "Tiba-tiba jumpa dengan kawan lama. Tu yang bersembang panjang tu. Tak sangka boleh jumpa dekat sini pula tu. Dunia ni memang kecil la abang. Kalau abang nak tahu, kawan Lily tu dia...." Lily yang enak berbicara menghentikan mulutnya yang tidak henti-henti berkicau. Mungkin teruja kerana terjumpa rakan lama. Tapi sekarang dia sedar yang wajah abang dan Kakak Natasya begitu tegang. Kedua-duanya kelihatan tak berminat dengan ceritanya.

Natasya menghembus nafas yang dalam. Tiba-tiba dia marah dengan kemunculan Lily yang tak diduga. Habis semua kata-kata yang ingin diucapkannya kepada Raiqal terhenti. Pergilah sembang dengan kawan kau tu balik! Nak sembang sampai esok pun tiada siapa yang kisah!

Tapi, lain pula bagi Raiqal. Kehadiran adiknya telah menyelamatkan dirinya daripada terus didesak oleh Natasya. Nak saja dia memeluk adiknya dan mengucapkan ribuan terima kasih.

"Er..abang..." teragak-agak Lily bersuara. Eh! Pandai pula control suara.

"Jom balik!" ajak Raiqal tiba-tiba. Matanya terpandang wajah Natasya yang keruh. Sumpah! Dia tak ada niat mahu sakitkan hati Natasya tapi semua yang diluahkan datang dari hatinya.

"Tapi kita belum sejukkan badan." Lily beralasan. Dia tak tahu apa yang terjadi antara Natasya dan abangnya tapi yang pasti keadaan seketika ini sedingin ais.

"Dah! jom balik. Kalau nak sejukkan badan, adik pasang je air cond. Senang!" seusai kata, Raiqal terus menarik tangan Lily menuju ke arah keretanya. Terdorong gadis molek itu mengikut langkah abangnya yang agak besar. Agak-agak la! Kaki dia dan Raiqal bukan sama panjang pun!

Natasya terasa hatinya bagaikan dicucuk dengan jarum yang begitu tajam. Raiqal memang bijak mengelak. Dia akan pastikan suatu saat, Raiqal menjadi miliknya! Tanpa kata, dia turut membuntui langkah Raiqal dan Lily.

Leave a Reply