Tuesday, 12 April 2016

DALAM KETERPAKSAAN (bab 1)


Alhamdulillah... dengan rahmat dan rezeki oleh-Nya.. dalam keterpaksaan menjadi sebuah novel.. spechless sangat bila teringatkan baby pertama ni keluar..

Thanks for u olls yang sokong dari atas bawah kiri kanan.. love beribu love...

Keluaran penulisan2u mac 2015

DALAM KETERPAKSAAN 1



"Ambil gula-gula ni. Abang tahu, Dira sukakan coklat ni kan? Tapi jangan bagi tahu ibu, yang abang bagi gula-gula ni. Nanti ibu marah!" seorang budak lelaki menyuakan sebiji coklat kepada adiknya. Seketika kemudian, dia melabuhkan punggungnya di sebelah kanak-kanak perempuan yang sedang bertenggek di sebelah parit kecil. Sekali lagi dia menyuakan coklat sekupang dua itu kepada kanak-kanak perempuan yang masih tercengang melihat dirinya.

"Ambil la!" budak lelaki tadi masih lagi cuba memancing kanak-kanak perempuan di sisinya. Bibirnya tersenyum manakala matanya penuh kasih sayang bila menatap wajah kanak-kanak perempuan itu.

"Nanti ibu marah," Kanak-kanak perempuan di sisinya turut memandang anak matanya sambil mengembungkan pipi. Begitu comel bila dilihat.

Budak lelaki tadi mula menyentuh bahu Adira Nasuha yang kelihatan gelisah. Dia tahu adiknya begitu inginkan coklat bila terpandangkan iklan coklat di televisyen sehinggakan adiknya melompat kesukaan setiap kali iklan yang sama keluar dari kaca televisyen. Walaupun coklat yang diberikan kepada Adira bukan coklat yang sering dimainkan dalam televisyen, sekurang-kurangnya Adira masih mampu menikmati kemanisan coklat.

"Adik jangan bagi tahu ibu! Ibu tak kan tahu kalau Dira sendiri tak beritahu ibu." Budak lelaki tadi meletakkan coklat berwarna merah itu ke dalam telapak tangan adiknya sambil tersenyum manis. "Dira ambil je coklat ni, makan. Tapi ingat tau, jangan kasi emak tahu!" pesannya lagi.

Adira akhirnya mengenggam juga coklat yang diberi oleh abang kandungnya. Terasa diri begitu disayangi. Dia bersyukur sangat kerana dikurniakan abang sebaik Danish. Dia bukan tidak tahu yang ibunya sudah melarang abangnya daripada menyogok dirinya dengan coklat. Kata emak, dia takut gigi Dira dimakan ulat. Nasib ada abang penyayang macam Danish.

"Abang Nish, dapat mana coklat ni." kanak-kanak perempuan yang baru berumur enam tahun itu bertanya lurus.

"Adik ni banyak tanya la. Abang beli la sayang, tak kan abang nak curi! Apa la Dira ni."

Adira mengembungkan pipinya sambil tersengih-sengih kepada abangnya yang mengusap lembut rambutnya yang telah ditocang dua oleh ibunya. Namun tiba-tiba, sengihannya terhenti bila terasa tangan abangnya membuat rambutnya mula kusut-masai.

"Apa abang ni! Habis la rambut Dira." Adira menolak tangan abangnya yang masih berada di kepalanya. Bibirnya juga dijuihkan sebelum pipinya pula dikembungkan buat sekian kalinya. "Tak cantik dah rambut Dira!" marahnya kemudian. Rambut-rambut yang berselerak dirapikan dengan tangan kecilnya.

Danish tertawa kecil melihat telatah adiknya yang asyik mengemaskan rambutnya. Dia tahu Adira memang pantang kalau rambutnya diusik tetapi dia masih mahu mengusik adiknya. Dia pun bukannya ada kawan lain selain adiknya. Budak-budak lain mana mahu kawan dengan mereka yang miskin. Semuanya asyik mengutuk dan membuli.

"Adik ni pelik la. Selalu sangat kembungkan mulut tu. Nanti kalau mulut Dira meletup, abang tak tahu!" ucap Danish sambil membuat gaya meletup. Sengaja dia mahu menakutkan adiknya. Sesekali mengusik adiknya apa salahnya.

"Abang tipu! Mulut Dira ni bukannya bom. Mulut Dira ni sama macam abang tahu. Kalau mulut Dira meletup, nanti mulut abang pun akan meletup juga!" Adira menjelirkan bibirnya sebagai isyarat dia tak termakan dengan momokan Danish. Ingat abangnya yang tua tiga tahun daripadanya boleh membodohkan dirinya? Silap banyak la!

Danish menggeleng kepalanya bila mendengar kepetahan mulut adiknya. Walaupun baru berumur tujuh tahun, tetapi Adira begitu pandai berkata-kata malah kekadang dia bicara seolah-olah sudah dewasa. Adira juga cukup pantas untuk memahami sesuatu sehingga kadang-kadang soalan yang tak terduga muncul dari mulut adiknya.

"Adik, jom balik! Kita buat layang-layang, esok boleh la kita main sama-sama," ujar Danish tiba-tiba. Dia mula berdiri disebelah adiknya yang masih leka bermain dengan coklat pemberiannya. Sekejap belek kiri, sekejap belek kanan. Bila nak makan agaknya.

"Tak mahu la! Abang suka tipu. Semalam abang kata nak main guli, tapi abang tipu. Dira tak nak percayakan abang lagi!" balas Adira sambil mula mengeluarkan isi coklat. Baru saja dia mahu memasukkan coklat ke dalam mulutnya, tindakannya terhenti. "Abang nak sikit tak?" soalnya sambil memandang pada abangnya yang sedang membelek luka kering pada lengan kirinya. Abangnya menggeleng.

"Tak mahu sudah!" penuh selamba dia menguyah coklat tersebut. Terasa nikmatnya.

"Abang jangan la tarik luka abang tu! Nanti berdarah kena letak ubat lagi. Lepas tu luka abang lagi besar. Lagi satu, ibu kan dah pesan jangan kunas luka, nanti lambat sembuh!" Adira mengomel panjang bila melihat tindakan abangnya mengorek luka kering hingga hampir mengeluarkan darah. Entah apa yang best sangat bila tarik luka yang dah kering. Sengaja cari penyakit!

"Adik ni banyak cakap la. Pot pet..pot pet." Danish menghampiri adiknya dan menarik pipi yang tembam. Comel!

"Apa bang ni! Sakit tahu tak! Nanti Dira kasi ibu tahu, biar ibu tarik telinga abang sampai putus. Suka hati je tarik pipi orang," Adira mengusap pipinya yang terasa perit dan lebih perit bila melihat wajah abangnya yang begitu bersahaja. Sikit pun tak rasa bersalah.

Danish buat tidak kisah. Kalau dilayannya si Adira ni, sehari pun tak habis. Danish memandang sekumpulan kanak-kanak yang begitu seronok bermain antara satu sama lain. Tiba-tiba perasaan cemburu mula mengetuk pintu hati. Dia sendiri tertanya-tanya, mengapa tiada langsung budak lain yang sudi berkawan dengan mereka. Mungkin kerana kehidupan mereka yang begitu miskin. Lihat la pakaian mereka yang bertampal-tampal, pasti semua itu membuat budak lain tidak suka berkawan dengan mereka yang kelihatan buruk. Biarlah, asalkan dia masih mempunyai adik dan seorang ibu yang begitu penyanyang. Bercakap pasal ibunya, terasa simpati mula menjengah hatinya. Ibunya terpaksa menyara kehidupan mereka dengan mengambil upah membasuh baju dan juga mencuci pinggan di kedai-kedai makan. Nasib ada ketua kampung yang begitu prihatin terhadap nasib mereka. Kalau tidak, alamatnya berkampung bawah jambatan la jawabnya.

"Aduh!!!"

Jeritan Adira membuatkan lamunan Danish terganggu. Cepat-cepat dia memandang adiknya yang sudah menekup betisnya dengan tangan. Matanya mula merah menandakan dirinya mula diamuk kemarahan. Tanpa tunggu lagi, dia terus berdiri di hadapan adiknya yang mula teresak-esak.

"Korang ni kenapa? Kenapa korang ganggu adik aku!" tanya Danish sambil menolak tubuh kurus seorang budak lelaki yang sudah melontar batu tepat mengenai betis adiknya. Terduduk budak lelaki itu jadinya.

Dua orang budak lelaki lagi mula menghampiri rakan mereka yang jatuh akibat tolakan ganas Danish. Dengan wajah geram, budak kurus tadi meluru ke arah Danish. Hatinya tercabar melihat tindakan berani Danish. Tidak! Mana boleh seorang anak orang kaya di kampung itu diperlakukan begitu oleh budak miskin dikampung itu. Macam langit dan bumi jika dilihat dari sudut status mereka.

"Hei budak miskin! Berani kau tolak aku! Kau tahu tak siapa bapak aku. Dah la ibu kau yang busuk tu jadi pencuci kain je di rumah aku. Sekali aku mengadu dekat bapak aku, mak kau akan dihalau. Kau nak ibu kau yang miskin tu kena halau macam kucing kurap dengan mak bapak aku!" Tangan budak kurus tadi tepat pada batang tubuh Danish malah dia juga sudah berura mahu menumbuk muka Danish, namun rakannya yang lain menghalang.

Adira yang terkejut mendengar jeritan budak lelaki kurus tadi, cepat-cepat berdiri dan bersembunyi di belakang abangnya. Dia benar-banar diasak rasa takut.

"Dira takut!" rintihnya perlahan.

Danish sedaya upaya menahan rasa amarahnya bila mendengar kutukan Aiman terhadap ibunya. Tangan Adira di belakang di genggam erat. Biarlah dia menerima makian atau pukulan asalkan ibunya tidak kehilangan mencari sumber untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

"Weh, budak miskin ni dah diam. Takut ibu dia tak dapat duit. Dasar budak miskin bodoh. Ibu dah la busuk, dia pun busuk. Pendek kata, diorang ni keluarga busuk!"

Budak kurus tadi ketawa mengekek-ngekek disambut dengan ketawa rakan yang lain. Semua budak-budak di situ memandang Danish dan Adira dengan pandangan penuh jijik. Tanpa sedar, Danish sudah mengenggam tangannya. Adira dibelakang semakin kuat esak tangisnya.

"Tengok tangan dia. Ada orang naik hantu la!" Budak kurus tadi masih cuba memancing kemarahan Danish. Danish ingin melangkah ke arah budak kurus tadi, namun tangan adiknya kuat mencengkam baju lusuhnya. Tindakannya terhenti.

Budak kurus tadi pantas menghampiri Danish. Wajahnya disua kepada Danish dengan penuh senyuman muslihat. "Tumbuklah kalau berani!" cabarnya.

Danish mengetap bibirnya sambil beristigfar dalam hati. Itulah yang diajar ibunya kepada mereka selama ini. Kata ibu mereka, kemarahan adalah permainan syaitan!

"Kau tak nak tumbuk aku! Lebih baik aku yang tumbuk kau dulu," ujar budak kurus tadi seraya mengangkat tangannya ke arah wajah Danish. Hatinya senang bila melihat Danish memejam mata seakan rela dengan tindakannya. Baru saja tangannya mahu bertindak, tiba-tiba dia terdengar satu jeritan.

"Hoi!"

Danish pantas membuka mata bila mendengar jeritan garau yang datang tidak jauh dari mereka. Semua kanak-kanak di situ memandang dua orang lelaki yang berpakaian serba hitam. Hati mereka sedikit gerun melihat wajah tegang dua manusia dewasa itu.

"Jom lari cepat!" arah budak kurus tadi kepada gengnya yang lain. Dalam masa sepuluh saat mereka sudah lesap dari pandangan Danish dan Adira.

Danish dan Adira terkebil-kebil melihat dua lelaki yang berada di hadapan mereka. Adira yang takut, cekap bersembunyi di sebalik abangnya. Tangannya mengenggam erat baju lusuh abangnya.

"Man, ni la budaknya," ujar lelaki yang berkepala botak kepada rakannya sambil meneliti gambar yang berada di tangannya.

Tiba-tiba lelaki yang berkumis nipis merampas gambar dari tangan si botak. Dia memandang Danish dan Adira bersilih ganti dengan gambar di tangannya.

"Kau ambil budak kecil tu! Budak ni biar aku yang pegang," ujar lelaki berkumis tadi sebelum pantas menangkap tubuh Danish. Meronta Danish jadinya.

Genggaman Adira pada baju abangnya terlepas, namun disebabkan genggamannya yang terlalu erat, menyebabkan baju lusuh abangnya terkoyak. Tiba-tiba terasa tubuhnya ditarik sehingga budak kecil tujuh tahun itu terdorong ke belakang. Bulat matanya memandang lelaki botak yang begitu menakutkan. Tanpa kata, Adira terus menangis ketakutan.

"Lepaskan adik aku, botak!" Danish cuba melawan lelaki sasa yang memegang erat tubuhnya, namun apakan daya, tenaganya terlalu lemah jika dibandingkan lelaki yang berotot sasa itu. Dengan sekali angkat dia sudah tersangkut pada bahu lelaki sasa itu. Tangannya mengetuk belakang lelaki itu namun tiada respons.

Adira terkedu melihat abangnya diangkat sedemikian. Dia terlalu takut ketika ini, namun melihat si botak juga mula ingin mengangkat dirinya, pantas tangan itu digigit kuat.

"Aduh!!!" si botak mengaduh kesakitan sehingga pegangannya terlepas. Tanpa kata, Adira terus melarikan diri. Sempat juga matanya memandang abangnya yang masih meronta.

"Lari Dira! Lari!" ujar Danish bersama jeritan yang amat kuat. Tenaganya semakin lemah apatah lagi dia masih belum mengambil makan tengah hari. Tiba-tiba matanya menjadi semakin kelam.

Adira terus berlari sambil air matanya menodai pipinya. Dia sedar yang si botak sedang mengejarnya. Pantas dia menuju ke semak samun dan menyorok di situ. Tubuhnya yang kecil membuatkan si botak gagal mengesan dirinya. Dari jauh dia melihat si botak menghampiri rakannya yang berkumis sebelum bertindak membawa abangnya masuk ke dalam sebuah kereta berwarna hitam. Air matanya semakin lebat menodai pipi.

"Abang!" hatinya menjerit apabila melihat abangnya dilarikan. Adira keluar dari semak samun dengan esakan yang begitu sayu. Hatinya pedih melihat abangnya yang sudah hilang di dari pandangan. Namun tiba-tiba ada tubuh yang berdiri dihadapannya dengan wajah kerisauan.

"Ibu!" hanya itu yang mampu dibicaranya sebelum tubuhnya melurut jatuh menyembah ke bumi.




Peluh semakin membasahi dahinya yang lincin. Tangannya pula mencengkam cadar biru berbunga kecil sambil kakinya seakan sedang menguis sesuatu. Kepalanya sekejap ke kiri, sekejap kekanan dan kemudiannya ke kiri balik.

"Abang, abang jangan tinggal adik. Abang, adik nak ikut abang. Abang tunggu adik, abang," racau seorang wanita yang masih terbaring di atas katil dengan mata terpejam. Dahinya berkerut seribu malah peluh semakin merintik membasahi wajahnya. Dia semakin tidak terkawal dan tangannya semakin mencengkam kuat cadar katilnya.

"Abang!!!!" tiba-tiba dia terjerit lantas dia terus terduduk dengan mata yang terbutang. Alir nafasnya tidak sekata seolah-olah baru saja selesai menamatkan larian 400 meter. Agak lama dia berkeadaan begitu sebelum tangannya meraup wajahnya yang agak basah dengan peluh yang memercik. Mimpi yang dialaminya tadi membuatkan dia terasa seolah semuanya memang benar-benar terjadi. Tanpa disedari, ada titisan air yang mula mengalir.

"Dira rindukan abang!" ucapnya perlahan sebelum dia menyeka titisan air mata yang mengaburkan pandangannya.

Seketika kemudian, dia menarik nafas dalam. Bila mimpi tadi mula beransur hilang dari kotak fikiran, terus saja matanya menangkap jam loceng berharga dua ringgit di meja kecil yang hampir terlerai. Namun keadaan yang masih gelap menyukarkan penglihatannya. Tanpa kata, dia terus bangun dan mengetik suis lampu yang terdapat di sebelah pintu biliknya. Biliknya mula kelihatan terang benderang, namun tiba-tiba matanya membulat.

"What the..." dia tak mampu mengungkap kata seterusnya kerana terlalu terkejut melihat keadaan biliknya. Baju yang berlipat di penjuru bilik tadi mula tersadai di atas lantai dengan keadaan bersepah. Buku-buku lama turut menyembah lantai biliknya malah ada yang terkoyak-rabak. Isi tong sampah juga turut bersepah di setiap sudut. Tiba-tiba dia terasa bagaikan hampir tercekik. Seingat dia, sebelum tidur tadi, biliknya kemas tanpa sebarang sampah pun tapi kini....

"Aku tahu kerja sapa ni!" desisnya penuh kegeraman. Sudah acap kali kejadian seperti ini terjadi. Kesabarannya mula menipis. Kerana terlalu geram, kakinya dibawa ke bilik sebelah yang lebih besar daripada biliknya.

Danisya mengetap bibir melihat tubuh seperti tong gas, begitu sedap lena di atas katil baru. Betapa bertuah manusia itu kerana berpeluang menikmati barangan baru sedangkan semua barang di biliknya sudah layak menjadi makanan tong sampah. Begitu berbeza dengan katil di dalam bilik Danisya yang hanya menghintung saat sebelum lingkup berkecai. Tangannya mengurut dahinya yang tiba-tiba terasa sakit. Mungkin kerana bangun terlalu mengejut tadi. Danisya berdiri agak lama di muka pintu bilik adiknya sebelum bibirnya terukir satu senyuman yang amat manis.

"Dah besar gajah pun takut dalam gelap! Penakut sampai tidur pun buka pintu bilik. Kalau perogol bersiri nampak, sah dia dapat makan free!" Danisya mengutuk sambil mula melangkah pergi daripada pintu yang ternganga luas itu.

Penuh hati-hati dia membuka pintu dapur yang diperbuat daripada zink. Pintu tu memang nampak macam nyawa-nyawa ikan dengan karat di bawah pintu berzink itu malah ada bahagian yang berlubang. Ni kalau ular nampak mesti ingat lubangnya! Bunyi keriuk pintu dibuka membuatkan dahi Danisya berkerut.

"Diam la sikit pintu, karang mak tiri Snow White tu bangun, mau mengamuk orang tua tu!" Danisya mengomel pada pintu yang tak bernyawa sebelum pintu itu berjaya dibuka tanpa mengejutkan penghuni di rumah itu. Satu senyuman lega bergayut pada bibirnya.

Danisya melangkah keluar dari rumah dan kemudiannya dia duduk mencangkung menghadap tanah berlumpur di belakang rumah. Tanpa kata, tangannya mula mengambil lumpur basah di hadapannya. Nampaknya hujan malam semalam membuatkan keadaan belakang rumahnya berlecak. Tak cukup satu tangan dia mencedok tanah merah berlumpur, tangan kirinya pula mencedok tanah berlecak itu. Sedikit pun dia tak terfikir kalau-kalau ada cacing yang terlekat pada tanah yang diambilnya. Danisya mula berdiri dan melangkah masuk ke dalam rumah dengan tangan penuh dengan lumpur. Senyuman langsung tak lekang di bibirnya.

"Masa untuk main balas membalas!" ucapnya sendiri sebelum melangkah ke bilik sebelahnya. Kakinya diatur menghampiri tubuh yang lena diulit mimpi. Tiba-tiba tubuh perempuan yang sedang lena itu tersenyum sendiri sehinggakan Danisya sendiri hairan. Entah apa yang dimimpikannya!

"Senyum la wahai perempuan yang berlagak cantik! Kita tengok sekejap lagi kau tersenyum ke atau menjerit macam hantu Pontianak sundal malam." Danisya ketawa mengekek kerana di dalam otaknya penuh dengan rencana yang sudah di atur. Tangan gadis yang sedang tidur terlentang itu diletakkan lumpur yang diambil tadi. Dia pasti akan terjadi ledakan bunyi bom perang dunia ke tiga sebentar nanti. Lantak la! Ada dia kisah.

"Sekarang dah jam berapa erk?" tanya dirinya sendiri. Tadi dia tidak sempat melihat jam kerana terkejut dengan keadaan biliknya. Tanpa menunggu lagi, dia terus berlalu ke dapur untuk membasuh tangannya melekit dengan tanah basah tadi. Sempat lagi matanya menjeling jam yang menunjukkan pukul 6.30 di ruang tamu sebelum mencicit berlari ke arah bilik air.

Leave a Reply